KPDN Serbu 14 Rangkaian Pengedar Aksesori Telefon Tiruan

22/10/2024 10:36 AM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan serbuan ke atas 14 premis berasingan di sembilan negeri di Semenanjung Malaysia yang disyaki menjual pelbagai aksesori telefon bimbit tiruan pada minggu lepas.

Premis tersebut termasuk yang terletak di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Kedah, dan Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata hasil serbuan tersebut, pegawai penguat kuasa telah menemukan 2,600 unit pelbagai jenis aksesori telefon bimbit yang disyaki menggunakan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).

"Kesemua aksesori telefon bimbit dan beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM65,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi yang dilakukan secara bersepadu oleh anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama pejabat KPDN Negeri yang berkaitan adalah hasil aduan diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan dan risikan awal.

Hasil maklumat awal menunjukkan bahawa kesemua premis terbabit disyaki membekalkan aksesori telefon bimbit tiruan dengan berselindung di sebalik syarikat yang membekalkan aksesori telefon asli, melibatkan pemilikan oleh syarikat yang sama di seluruh negara.

Menurut Azman, 13 kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah subseksyen 102(1)(c) Akta 815, iaitu memiliki, menjagai atau mengawal barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar untuk tujuan perdagangan.

Selain itu, katanya syarikat itu juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) kerana disyaki melakukan kesalahan pengubahan wang haram. Siasatan ini bertujuan untuk mengesan, membeku, menyita, serta membawa kepada pelucutan hak ke atas sebarang hasil pendapatan atau harta yang diperoleh daripada aktiviti haram berkaitan penyelewengan cap dagangan.

KPDN juga memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menjual barangan tanpa kebenaran daripada pemilik cap dagangan berdaftar yang sah, kerana ini merupakan suatu kesalahan yang serius.

Selain itu, pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan, kerana ia boleh mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara serta berpotensi mengancam keselamatan pengguna itu sendiri, kata Azman.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan