Polis Rampas 669 Laras Senjata Tiruan, Tahan Tiga Lelaki

21/12/2024 01:04 PM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga tempatan dan merampas 669 laras senjata tiruan dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB)/Perisikan Siasatan Khas (PSK), baru- baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata dalam operasi pertama ke atas sebuah premis di Kota Bharu, Kelantan pada 17 Dis lepas, seorang lelaki tempatan ditahan, selain 32 laras senjata tiruan turut dirampas.

“Siasatan awal mendapati suspek menjalankan perniagaan menjual senjata tiruan melalui platform dalam talian sejak beberapa bulan lalu. Pemeriksaan lanjut turut menemui dua ekor burung murai batu yang disimpan tanpa permit sah serta beberapa kotak ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Akta Senjata 1960, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Peraturan-Peraturan 1(a) Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Azmi berkata dalam operasi kedua di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 18 Dis lalu, seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing turut ditahan. Polis merampas 637 laras senjata tiruan dalam serbuan tersebut, dan kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960.

“Keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua operasi ini dianggarkan berjumlah RM436,971,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa risikan dan operasi bagi menjejaki serta membanteras kegiatan tersebut akan terus dipergiatkan demi keselamatan dan ketenteraman awam. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada pihak polis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan