Kes Jenayah Di Ipoh Terkawal - Timbalan Ketua Polis Perak

22/10/2024 08:42 PM

IPOH, 22 Okt (Bernama) -- Kes jenayah di bandar raya Ipoh dalam keadaan terkawal dengan 1,626 kes berbanding nilai ambang 1,708 kes dari 1 Jan hingga 30 Sept tahun ini, berdasarkan statistik jenayah indeks Ipoh.

Timbalan Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata statistik yang dilaporkan itu tidak melepasi nilai ambang bersamaan negatif 87 kes sekali gus mencerminkan kadar jenayah di Ipoh masih rendah dan terkawal, bukan sahaja dari segi kes jenayah, tetapi juga dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam

Beliau berkata berdasarkan statistik itu juga, tiada kes jenayah melibatkan pelancong sepanjang tahun lepas dan hingga September tahun ini di Ipoh.

Menurutnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sentiasa bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam usaha mengurangkan kes jenayah di bandar raya itu.

“Contohnya Program Bandar Selamat di mana antara PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan MBI adakan perkongsian maklumat tentang contohnya lokasi berlakunya jenayah melalui peningkatan rondaan, pengawasan dan melalui keberadaan polis (police presence) oleh IPD Ipoh dan penguat kuasa MBI,” katanya pada Program Townhall Discussion IPD Ipoh “Keselamatan Pelancong Keutamaan Kami” di sini hari ini. 

Ahli panel turut terdiri daripada Pengerusi Tourism Perak Datuk Mohamad Kamil Shafie dan Pengarah Komuniti Bandaraya MBI Romzi Zamri.

Program dihadiri kira-kira 200 pemain industri pelancongan dan ahli Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan