Tujuh Wanita Vietnam Mangsa Eksploitasi Seks Diselamatkan

23/10/2024 07:39 PM

SHAH ALAM, 23 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyelamatkan tujuh wanita warga Vietnam yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks dalam operasi di sebuah rumah kedai dua tingkat di Klang, dekat sini pada Isnin lepas.

JIM dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa yang berusia antara 32 dan 45 tahun masuk ke negara ini sebagi pelancong tetapi telah dipaksa dan dieksploitasi sebagai pekerja seks di premis tersebut.

“Berdasarkan maklumat aduan, kesemua mereka dilaporkan telah dikurung di premis itu dan dipukul jika enggan melayani pelanggan selain dikawal ketat oleh seorang ‘kapten’ warga Bangladesh dengan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).

“Mereka hanya dibayar RM60 bagi setiap pelanggan dan pergerakan dikawal ketat termasuk larangan keluar untuk membeli makanan dan barang keperluan, selain semua pasport dipegang oleh individu dipercayai ejen yang menawarkan pekerjaan kepada mereka,” menurut kenyataan itu. 

Dalam operasi bermula 11.23 malam itu, anggota JIM terpaksa memecahkan pintu utama kerana ‘kapten’ tersebut enggan bekerjasama dan cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua bangunan sebelum ditahan.

Menurut kenyataan itu operasi turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.

Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan