JIM Terengganu Tahan 35 Pati Dalam Ops Bersepadu

26/10/2024 04:24 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 35 pendatang asing tanpa izin warganegara Bangladesh, Myanmar, India, Pakistan dan Indonesia dalam operasi bersepadu di tapak pembinaan di sini semalam.

Timbalan Pengarah Imigresen Terengganu (Kawalan) Mat Amin Hassan berkata mereka yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tinggal dalam negara melebihi masa itu, berusia antara 15 hingga 53 tahun.

“Operasi turut disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Mereka menggunakan pelbagai cara untuk meloloskan diri termasuk keluar melalui tingkap kecil dalam tandas, tetapi gagal apabila tersangkut kerana saiz tubuh yang besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mat Amin berkata kesemua pendatang yang ditahan dihantar ke depot tahanan di Ajil untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu, JIM turut mengeluarkan notis kepada dua warga tempatan yang merupakan penyelia tapak pembinaan tersebut bagi membantu siasatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan