Penyelia Penyelenggaraan Rugi Lebih RM140,000 Terperdaya Skim Pelaburan Saham Dalam Talian

24/10/2024 11:53 AM

JOHOR BAHRU, 24 Okt (Bernama) -- Seorang penyelia penyelenggaraan di sebuah syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM149,291 setelah mendakwa terperdaya oleh skim pelaburan saham dalam talian pada Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata lelaki berusia 64 tahun itu ditipu oleh skim saham yang dikenali sebagai "Q-She," yang menawarkan pulangan segera sebanyak 15 peratus daripada modal yang dilaburkan.

Beliau berkata mangsa yang tertarik dengan keuntungan ditawarkan telah melakukan 10 transaksi pembayaran ke enam akaun bank berbeza berjumlah RM149,291 menggunakan wang simpanannya, bermula 27 Ogos hingga 14 Okt lepas. 

“Keesokan harinya (15 Okt), mangsa cuba menuntut keuntungan seperti dijanjikan, namun suspek memberikan pelbagai alasan, malah dia diarahkan untuk membuat lagi bayaran tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Namun, beliau berkata mangsa menyedari dia ditipu sebelum dia bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, semalam. 

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan siasatan juga meliputi penglibatan keldai akaun sekiranya ada, dan tindakan akan dikenakan terhadap pemilik akaun terlibat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan