Polis Rampas Produk Kosmetik Bernilai Lebih RM50,000 Di Sempadan Malaysia-Thailand

24/10/2024 04:22 PM

KOTA BHARU, 24 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan produk kosmetik dianggarkan bernilai RM59,330 dalam Op Taring Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand semalam. 

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kesemua barangan kosmetik itu ditemukan dalam beberapa kotak berwarna coklat pada kira-kira 12 tengah hari di pengkalan haram di Pok Dik, Pasir Mas.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati ada 741 unit produk kosmetik yang dipercayai diseludup dari Thailand tanpa sebarang dokumen sah.

“Kesemua produk itu disyaki untuk pasaran tempatan dan semua rampasan telah diserahkan ke Komtak Jeram Perdah untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 7(1)(E) Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang memandu kereta Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan di pengkalan haram di Kedap, Rantau Panjang pada 11.30 malam hari yang sama.

Polis menemukan 216 botol ubat batuk dianggar bernilai RM2,160 dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek dan barang rampasan diserahkan ke Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan