KOTA TINGGI, 24 Okt (Bernama) -- Pasangan suami isteri etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah rumah, mencuri dan menyimpan pelbagai harta curi antaranya wang tunai dan barang kemas.
Norjahan Ismail, 34, didakwa atas 13 pertuduhan manakala Muhammad Ibrahim Md Yusof, 24, menghadapi 11 pertuduhan yang didakwa dilakukan di beberapa buah rumah sekitar Kota Tinggi dan Mersing antara Mac 2024 hingga Sept lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda dan jika kesalahan melibatkan kecurian, penjara boleh dikenakan sehingga 14 tahun manakala kesalahan kali kedua boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Norjahan yang sarat hamil dan suaminya itu turut didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, tiga anak perempuan Norjahan berusia 13, 14 dan 17 tahun serta menantunya, Mohamad Jamal, 19, yang kesemuanya etnik Rohingya telah mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kampung Temenin Baru di sini pada 25 Sept lepas mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya beserta tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar tidak membenarkan keenam-enam tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Nov ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong manakala peguam L Mehnagha mewakili kesemua tertuduh.
Pada Selasa lepas, Ketua Polis Johor Datuk M Kumar dilapor berkata polis menumpaskan satu kumpulan pecah rumah didalangi wanita yang mempunyai 54 rekod lampau kes jenayah pecah rumah di beberapa negeri.
Kumpulan itu dipercayai terlibat dengan 21 kes pecah rumah di Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Batu Pahat dan Melaka, dengan kerugian sebanyak RM1.25 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial