Usaha Padam Kebakaran Tapak Kitar Semula Pengkalan Chepa Dijangka Tiga Hari - Bomba

28/10/2024 01:58 PM

KOTA BHARU, 28 Okt (Bernama) -- Operasi memadam kebakaran sebuah tapak pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, dijangka selesai dalam tempoh tiga hari. 

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Zukeri Shafei berkata hal ini berikutan bahan kitar semula di lokasi kejadian merupakan 100 peratus bahan bakar seperti getah, plastik dan kain yang menyukarkan operasi pemadaman.

Beliau berkata cabaran bomba adalah untuk memadam api di bahagian bawah timbunan bahan kitar semula kerana ketinggian antara tiga hingga empat meter dan dijangkakan 60 peratus api masih ada di kawasan itu.

"Justeru, strategi kita hari ini akan padam api di kawasan dalam timbunan itu sebab semalam kita sudah berjaya kawal api di kawasan sekeliling daripada merebak ke kilang-kilang berdekatan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati operasi memadam kebakaran di tapak pengumpulan bahan kitar semula berkenaan masih diteruskan.

Selain itu, terdapat kepulan asap putih yang tebal kerana kebakaran itu melibatkan bahan-bahan sisa pepejal antaranya getah, PVC dan plastik-plastik yang dikitar semula dengan melibatkan 1.5 ekar keluasan kebakaran.

Semalam, sebuah tapak pengumpulan bahan kitar semula berkenaan terbakar 80 peratus pada kira-kira 6 petang dan 40 anggota bomba bersama lima jentera dan empat tanker air terlibat dalam usaha memadam kebakaran itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan