SUBANG JAYA, 29 Okt (Bernama) -- Polis akan sentiasa bekerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan untuk mengekang aktiviti penyeludupan dadah ke negara ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN) Datuk Seri Khaw Kok Chin.
Beliau berkata kerjasama erat seperti itu amat perlu dalam memastikan keberkesanan usaha pencegahan penyeludupan dadah kerana sempadan negara di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak amat panjang.
"Selain membawa masuk dadah bagi pasaran tempatan, sindiket turut menjadikan negara ini sebagai transit sebelum diedarkan ke negara lain dengan harga yang lebih tinggi.
“Di luar negara, dadah ini dijual sehingga lima kali ganda daripada harga pasaran tempatan yang mana RM33,000 per kilo untuk syabu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Khaw berkata laluan tikus yang menjadi jalan pengedar dadah membawa masuk bahan terlarang itu juga didapati kerap berubah mengikut operasi dan kawalan dilakukan pihak berkuasa.
Katanya, jumlah sebenar laluan tikus tidak dapat diberikan kerana ia sentiasa berubah dari masa ke masa.
"Mereka boleh menutup dan menimbus laluan tikus ini dengan pantas setelah ia digunakan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan sebanyak 193 sindiket dadah telah ditumpaskan dan seramai 612 ahli sindiket telah ditahan bagi tempoh Januari hingga September lepas.
Razarudin berkata dalam tempoh sama, sejumlah 8,996.1 kilogram pelbagai jenis dadah dan 4,749.05 liter pelbagai jenis cecair dadah serta 39,105.37 kilogram daun ketum dan 43,499.85 liter air ketum berjaya dirampas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial