Bunyi Letupan, Gegaran Di Ipoh: Polis Teruskan Siasatan Jika Ada Bukti Baharu

29/10/2024 04:14 PM

IPOH, 29 Okt (Bernama) -- Polis Perak akan meneruskan siasatan berhubung insiden bunyi letupan dan gegaran yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh pada 21 Okt lepas jika terdapat bukti baharu.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata setakat ini dakwaan mengaitkan insiden itu dengan bencana gempa bumi, ledakan sonik atau letupan kuari didapati tidak benar berdasarkan pendapat dikemukakan pakar-pakar dalam bidang berkenaan.

“Kita tolak berdasarkan hujah dikemukakan oleh pakar-pakar berkaitan selain tiada bukti dalam radar kita yang mengesan punca itu adalah disebabkan oleh gempa bumi, ledakan sonik mahupun aktiviti kuari.

“Cuma ia masih misteri, namun kita akan teruskan siasatan sekiranya ada penunjuk atau bukti-bukti yang boleh dikaitkan dengan insiden gegaran itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama 20 agensi awam dan swasta bagi membincangkan punca sebenar insiden berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan berkata bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di Ipoh sehingga kini masih dikategorikan sebagai misteri, selain polis sedang melakukan siasatan terperinci berhubung insiden itu.

Pada 21 Okt, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput kira-kira 11.06 pagi yang disusuli dengan bunyi dentuman kuat.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak Nizarulikram Abdul Rahim sebelum ini dilaporkan berkata kejadian itu merupakan insiden ketiga selepas kali pertama berlaku pada Jun 2012 dan 4 Okt 2018 dengan kesemuanya terjadi sekitar 11 pagi selain puncanya masih menjadi misteri.

Dalam pada itu, Azizi berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan berhubung kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa yang berlaku disebabkan insiden berkenaan.

“Bukan polis sahaja, malah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga tidak menerima laporan kecemasan akibat daripada gegaran itu,” katanya.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu khuatir dan berasa bimbang dengan insiden itu dan boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa.

“Cuma saya minta kepada orang awam jika ada antara mereka yang mempunyai apa sahaja bukti berkaitan insiden itu supaya tampil membantu sisatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan