Kibar Bendera Asing: Polis Perak Rujuk D5 Bukit Aman

29/10/2024 06:46 PM

IPOH, 29 Okt (Bernama) -- Insiden pengibaran bendera negara asing ketika perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan Khamis lepas dirujuk kepada Bahagian Perundangan (D5) Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata kertas siasatan oleh Polis Perak mengenainya telah diserahkan kepada bahagian itu hari ini dan sebarang arahan akan dilaksanakan berdasarkan keputusan dibuat bahagian berkenaan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada D5 Bukit Aman terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kita hanya tunggu sama ada perlu menambah bukti atau meneruskan dengan pertuduhan di mahkamah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Azizi berkata setakat ini sebanyak 61 laporan diterima pihaknya membabitkan perarakan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana pihak penganjur melanggar syarat permit dan Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibarkan bendera asing ketika perarakan,” katanya.

Sebelum ini, tular video di laman media sosial memaparkan beberapa individu mengibarkan bendera negara asing sambil bersorak ketika perarakan sambutan Guan Gong Sedunia yang berlangsung dari 8 malam hingga 11.30 malam itu.

Azizi sebelum ini dilapor berkata video yang tular itu turut memaparkan bendera negara Thailand dan Vietnam dikibarkan.

Sebanyak 17 peserta warga China yang terlibat dalam sambutan itu dilaporkan turut telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan