Tiga Rakan Ditahan Bersama 20 Kg Syabu Bernilai RM640,000

29/10/2024 09:08 PM

GEORGE TOWN, 29 Okt (Bernama) -- Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan merampas 19 bungkusan dadah jenis syabu seberat 20 kilogram (kg) bernilai RM640,000 dalam tiga serbuan di negeri itu bermula semalam hingga hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata kesemua suspek berusia 25 hingga 39 tahun dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah jenis syabu itu ditahan dalam serbuan bermula 4 petang semalam hingga 2 pagi tadi.

Beliau berkata menerusi serbuan pertama polis menahan seorang lelaki dan wanita di kawasan parkir di Butterworth di sini dan merampas beg kain berwarna biru yang di dalammya mengandungi syabu seberat 1.036 kg.

"Susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Bukit Mertajam di sini yang membawa kepada rampasan dadah jenis sama yang disimpannya di kawasan Butterworth.

"Polis merampas sebuah kotak mengandungi 12 bungkusan plastik berwarna hijau dengan label teh Cina "guanyingwang" berisi hablur disyaki syabu seberat 12.643 kg dan satu beg plastik yang mengandungi enam bungkusan sama seberat 6.321kg," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata berdasarkan siasatan awal, sindiket itu mendapatkan bekalan syabu dari luar negara untuk pasaran tempatan dan mereka bergiat aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal bulan ini.

Beliau berkata siasatan mendapati tangkapan pertama adalah kenalan iaitu lelaki bekerja sebagai mekanik manakala wanita suri rumah dan lelaki kedua pula seorang peniaga dan ketiga-tiga mereka adalah rakan.

“Hasil ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek negatif sebarang jenis dadah," katanya.

Beliau berkata turut dirampas kereta jenis BMW bernilai RM48,000 dan pelbagai barangan kemas bernilai 17,686 daripada ketiga-tiga suspek tersebut.

Hamzah berkata kesemua yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan kini direman enam hari hingga 3 Nov bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan