Oleh Adnan Mohamad
KOTA BHARU, 31 Okt (Bernama) -- Rakyat Kelantan dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati merancang perjalanan dan menjaga keselamatan ketika berkunjung ke selatan Thailand, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Beliau berkata berdasarkan daftar keluar dan masuk di tiga Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin Dan Keselamatan (ICQS) di Kelantan iaitu Kompleks ICQS Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga menunjukkan peningkatan pengunjung ke selatan Thailand sejak semalam.
"Semua rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Kelantan yang merancang berkunjung ke selatan Thailand sempena cuti Deepavali dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata sejak awal Oktober lepas sebanyak 35 serangan dan pengeboman dipercayai berlaku di beberapa wilayah iaitu Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Mohd Yusoff turut mengingatkan pengunjung supaya menggunakan pintu keluar masuk yang sah supaya pihak berkuasa kedua-dua negara dapat bertindak sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
"Elak menggunakan laluan yang tidak sah seperti laluan tikus, pangkalan haram dan sebagainya.
"Bagi pengunjung yang menggunakan kenderaan sendiri, diminta supaya patuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang berkuat kuasa di kedua-dua negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial