KPDN Kelantan Rampas Lebih 8,000 Kg Minyak Masak seludup

01/11/2024 06:32 PM

KOTA BHARU, 1 Nov (Bernama) -- Sebanyak 8,534 kilogram minyak masak bersubsidi dan tiga kenderaan disita dalam operasi bersepadu antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor semalam.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata rampasan itu dilakukan selepas menerima maklumat mengenai sebuah lori disyaki membawa minyak masak bersubsidi dari luar Kelantan untuk diseludup ke negara jiran. 

Beliau berkata pasukan operasi bertindak mengekori lori itu hingga Kampung Bukit Payong, Tanah Merah yang kemudian didapati cuba memindahkan minyak masak bersubsidi itu ke dalam dua kereta jenis Proton Waja.

"Semasa serbuan, kedua-dua pemandu Proton Waja itu melarikan diri ke dalam semak dan gagal dikesan manakala seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun, dipercayai pemandu lori berkenaan ditahan.

"Pemeriksaan di dalam ketiga-tiga kenderaan itu menemukan sejumlah besar minyak masak bersubsidi di dalam kotak dan plastik bernilai RM21,335," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata hasil soal siasat awal juga mendapati suspek menerima upah RM1,000 untuk setiap penghantaran minyak masak bersubsidi itu dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata keseluruhan rampasan berjumlah RM61,335 termasuk minyak masak bersubsidi, dua Proton Waja bernilai RM10,000 dan sebuah lori Isuzu yang dianggarkan RM30,000.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan