ALOR SETAR, 2 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penjualan minyak masak polibeg satu kilogram (1kg) dalam serbuan di kawasan pembinaan sebuah kilang di Kulim, semalam.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan yang dijalankan pada 12 tengah hari itu turut menumpaskan penjualan gula dan tepung gandum tanpa lesen.
"Semasa serbuan, seorang lelaki tempatan berusia 30-an mengaku sebagai penjaga premis runcit di kilang itu. Hasil pemeriksaan menemukan 967kg minyak masak polibeg bersubsidi, 480kg tepung gandum dan 23kg gula dianggarkan bernilai lebih RM3,900.
"Lelaki tempatan itu telah dilepaskan setelah diambil keterangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan subsidi agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka terlibat dalam penyelewengan barangan tersebut.
"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada KPDN untuk tindakan lanjut melalui saluran di portal e-aduan 2.0 http://e-aduan.kpdn.gov.my atau menghubungi Pejabat KPDN Kedah di talian 04-7001745," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial