Polis Rakam Keterangan Suspek Kes Buli, Dera Pegawai Kadet UPNM

02/11/2024 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Polis telah merakamkan keterangan suspek yang disyaki terlibat dalam kes buli dan dera seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata polis juga akan merakam percakapan rakan sebilik mangsa petang ini.

“Tiada tangkapan oleh polis berkaitan kes berkenaan setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan terhadap kes berkenaan telah dimulakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas mangsa berusia 20 tahun membuat laporan kira-kira 8.20 malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku pada 11.45 malam 22 Okt lepas, di bilik asrama UPNM selepas suspek berusia 22 tahun yang juga penuntut tahun empat UPNM meminta mangsa menggosok baju kerja miliknya dan tiba-tiba mengambil seterika dipegang mangsa sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanannya sebanyak satu kali.

Tindakan penuntut senior itu menyebabkan mangsa terkejut dan menjerit serta menyebabkan kecederaan melecur dan ketika kejadian beberapa penuntut senior dikatakan turut berada di dalam bilik berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan