Lelaki Tikam Dua Beranak Direman Tujuh Hari

08/11/2024 02:51 PM

GEORGE TOWN, 8 Nov (Bernama) -- Lelaki yang ditahan kerana menikam dua beranak dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Air Itam di sini semalam direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata lelaki berusia 32 tahun yang turut cedera dalam kejadian itu selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri kini dalam keadaan stabil.

"Pihak polis mendapat perintah reman ke atas lelaki itu bermula hari ini hingga 14 Nov bagi membantu siasatan, suspek dalam keadaan stabil dan sekarang ini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Dakwaan berita yang lelaki itu telah meninggal dunia adalah palsu dan polis juga sedang menunggu ujian darah suspek bagi mengetahui sama ada dia positif dadah atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, bapa dan anak perempuannya masing-masing berusia 62 tahun dan 30 tahun maut dipercayai ditikam oleh seorang lelaki. 

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 12.54 tengah hari mengenai seorang individu dilihat membawa pisau dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri itu.

Polis kemudian terus ke lokasi kejadian dan sebaik tiba di hadapan lobi lif pangsapuri berkenaan, tiga orang yang kesemuanya warga tempatan ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HPP berkata suspek ialah saudara jauh kepada mangsa dan sering datang ke rumah keluarga mereka.

"Suspek ada 'bau-bau bacang' dengan mangsa dan ayahnya. Dia dipercayai menaruh perasaan kepada mangsa dan suspek juga dikatakan tahu rutin harian anak sedara saya ( mangsa wanita)," katanya.

Dalam pada itu, proses bedah siasat mangsa wanita telah selesai manakala proses bedah siasat bapanya belum dijalankan.

Jenazah kedua-dua beranak itu akan disolatkan di Masjid Tuan Guru di Tanjong Tokong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong dijangka pada petang ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan