KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Polis sedang menyiasat kejadian membabitkan seorang mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang disyaki dipijak sehingga cedera parah di rusuk dan belakang badan oleh seorang penuntut senior tahun tiga universiti berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata mangsa berusia 19 tahun mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat kejadian itu dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Beliau berkata kejadian dilaporkan berlaku 10.45 malam, 21 Okt dengan mangsa ketika itu berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama di universiti berkenaan dan polis hanya menerima laporan mengenainya pada 8.40 malam, 8 Nov.
“Kes masih di peringkat siasatan dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dilengkapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, tular di laman sosial X apabila seorang wanita mempersoalkan kewajaran tindakan mahasiswa UPNM yang didakwa membuli selain mendakwa adik saudaranya dipijak hingga patah tulang rusuk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial