UPNM: Sembilan Individu Dirakam Keterangan, Suspek Dijangka Hadir Ke IPD Cheras Petang Ini

11/11/2024 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Polis sudah mengambil keterangan sembilan individu bagi membantu siasatan kes penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dipercayai dipijak penuntut senior hingga cedera parah di rusuk dan belakang badan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata mereka yang diambil keterangan melibatkan saksi kejadian dan kakitangan universiti berkenaan.

“Suspek kejadian juga dikenal pasti dan dijadualkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada petang ini untuk diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Rusdi dalam kenyataan memaklumkan mangsa berusia 19 tahun yang juga penuntut tahun satu, mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dicederakan seorang penuntut senior tahun tiga dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 10.45 malam, 21 Okt dengan mangsa ketika itu berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama di universiti berkenaan dan polis hanya menerima laporan berkaitan insiden itu pada 8.40 malam, 8 Nov.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi perkongsian di platform X semalam memaklumkan pihaknya berpendirian kejadian tersebut adalah tidak wajar dan merosakkan imej UPNM serta institusi pendidikan tinggi. 

Mohamed Khaled berkata kementerian berkenaan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung kejadian.

Sebelum ini, tular di laman sosial X apabila seorang wanita mempersoalkan kewajaran tindakan mahasiswa UPNM yang didakwa membuli selain mendakwa adik saudaranya dipijak hingga patah tulang rusuk.

Sementara itu, Rusdi berkata suspek kes berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras petang tadi untuk memberi keterangan. 

"Suspek tidak ditahan, dan setakat petang tadi, keterangan tambahan daripada lima lagi saksi telah dirakam bagi membantu siasat," katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan