IPOH, 13 Nov (Bernama) -- Seorang remaja lelaki hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak mengangkat Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie ke bahu jalan selepas perlanggaran berlaku.
Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata beliau melihat pemandu (Mohd Nazri) yang turun dari kereta jenis Perodua Ativa seolah-olah dalam keadaan marah berdasarkan tindakan serta pergerakan tangannya.
Bagaimanapun, remaja itu berkata beliau tidak dapat mendengar apa yang dikatakan oleh pemandu tersebut kerana sepanjang kejadian beliau berada di bahu jalan berdekatan simpang tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati.
“Saya hanya bergerak ke bahu jalan di tempat mangsa diangkat selepas perlanggaran setelah pemandu kereta Ativa beredar dari tempat kejadian.
“Saya dapat perasan kejadian itu kerana bunyi motosikal Zaharif yang kuat. Saya fokus pada kejadian dan dapat melihat kereta itu mengejar dan melanggar motosikal Zaharif,” kata saksi itu.
Remaja itu berkata demikian ketika membaca pernyataan bertulisnya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada perbicaraan kes Mohd Nazri yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis 2023.
Menceritakan kejadian itu, remaja berkenaan berkata sebelum perlanggaran berlaku, beliau nampak Muhammad Zaharif memperlahankan motosikal seperti mahu membelok ke kanan di kawasan jalan raya berdekatan dengan tempatnya berada iaitu di bahu jalan.
Katanya beliau tidak perasan jika Muhammad Zaharif ada memberikan isyarat (signal) atau tidak, namun nampak motosikal mangsa berada dekat garis putih pembahagi jalan, tetapi masih belum masuk ke arah jalan bertentangan, manakala pemegang (handle) motosikal mangsa sudah bergerak ke arah kanan.
“Saya melihat kereta Ativa tersebut telah melanggar bahagian lampu belakang motosikal Zaharif dengan bumper bahagian tengah kereta. Zaharif jatuh daripada motosikal dan motosikalnya telah terseret ke arah hadapan kereta Ativa,” kata remaja itu.
Saksi itu berkata kereta Ativa tersebut seterusnya menggilis mangsa.
Menurut saksi itu, sebelum perlanggaran berlaku tiada sebarang bunyi hon daripada kereta Ativa berkenaan atau tanda-tanda kenderaan itu menekan brek.
Dalam pada itu, saksi juga memaklumkan beliau menyedari kejadian tersebut kerana bunyi motosikal Muhammad Zaharif yang kuat dan dapat fokus pada kejadian serta melihat insiden kereta itu mengejar dan melanggar motosikal mangsa.
Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz, saksi berkata beliau tidak dapat membuat pengecaman wajah pemandu Ativa, namun mengesahkan pemandu terbabit adalah seorang lelaki.
Saksi turut memberitahu mahkamah bahawa sewaktu kejadian, beliau tidak mengetahui bahawa pemandu Ativa adalah seorang pegawai polis, namun sehari selepas kejadian rakannya telah memaklumkan identiti lelaki terbabit.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial