Pengurus Kilang Rugi Lebih RM940,000 Terperdaya Pelaburan Dalam Talian

18/11/2024 09:16 AM

JOHOR BAHRU, 18 Nov (Bernama) -- Seorang pengurus kilang mengalami kerugian RM943,250 selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan dalam talian, pada Mei lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata wanita berusia 53 tahun itu telah dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp yang menawarkan pelaburan dalam bidang perhotelan dan menjanjikan kadar pulangan tinggi serta mudah dalam jangka masa singkat oleh individu tidak dikenali.

Beliau berkata tertarik dengan keuntungan dijanjikan, mangsa telah membuat pembayaran secara pindahan dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza berjumlah RM943,250 untuk dilaburkan, pada September hingga Oktober lepas. 

"Setelah bayaran dibuat, mangsa dimaklumkan bahawa pelaburannya telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM600,000 namun dia dikehendaki membuat bayaran tambahan bagi membolehkan wang keuntungan itu dikeluarkan. 

"Bagaimanapun, mangsa enggan membuat bayaran tambahan seperti diminta dan percaya dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis pada Sabtu lepas dengan kerugian dialami berjumlah RM943,250," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pada masa sama beliau menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian dengan pulangan tinggi pada masa singkat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan