Lelaki Didakwa Bunuh Ibu, Simpan Dalam Peti Sejuk

26/11/2024 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya yang mayat wanita itu ditemukan di dalam peti sejuk pada 12 Nov lepas. 

N. Deanesh, 53, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian ibunya Catherine Daniel, 77, ketika kejadian di sebuah rumah di Taman OUG, Brickfields di sini antara 21 dan 26 Mac 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan dikenakan maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.  

Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 7 Feb tahun depan bagi sebutan laporan forensik, bedah siasat dan laporan kimia. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Pada 12 Nov, Bernama melaporkan seorang lelaki ditahan susulan penemuan mayat seorang wanita di dalam peti sejuk di sebuah rumah di Taman OUG. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat wanita terbabit pada 8.48 pagi (12 Nov) sebelum lelaki itu ditahan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan