Tebing Sungai Kelantan Runtuh: Polis Perluas Kawasan Larangan

18/12/2024 05:38 PM

KOTA BHARU, 18 Dis (Bernama) -- Polis memperluas kawasan larangan bagi mengelak orang ramai mendekati lokasi tebing Sungai Kelantan yang runtuh berhampiran sebuah kondominium dan hotel di Jalan Post Office Lama, di sini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata keputusan diambil sebagai langkah berwaspada bagi mengelak runtuhan tebing menjadi lebih buruk dan merebak ke kawasan lain.

"Hasil pemantauan saya mendapati kawasan berisiko itu masih menjadi tumpuan orang awam yang berkunjung, mengambil  gambar serta merakam video tebing runtuh.

"Saya telah mengarahkan anggota supaya memperluas kawasan larangan bagi mengelak orang ramai mendekati kawasan kejadian," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, kerajaan Kelantan mengisytiharkan kawasan runtuhan tebing terbabit sebagai 'kawasan bencana'.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata kawasan itu perlu dibaik pulih dengan kadar segera bagi mengelak menjadi lebih teruk, selain merupakan satu daripada kawasan tarikan pelancongan.

"JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sedang menjalankan pemeriksaan dan kajian bagi melihat sama ada masih ada pergerakan tanah dan hakisan yang berlaku.

“Kami (kerajaan negeri) akan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang dan tiada tempoh waktu untuk disiapkan proses baik pulih,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Pada Isnin, satu runtuhan sepanjang lebih 50 meter dikesan berlaku di tebing Sungai Kelantan menyebabkan laluan pejalan kaki di situ terhumban ke bawah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan