Polis Terengganu Rampas 36 Kg Syabu

19/12/2024 03:09 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Dis (Bernama) -- Polis menangkap seorang lelaki dan merampas 36 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.15 juta selepas menahan sebuah kereta Toyota Alphard di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT) Selasa lepas

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu dengan bantuan Unit Peronda Lebuhraya LPT 2 Bukit Aman itu dibuat kira-kira 4 petang di Kilometer 268.8 dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang.

Beliau berkata penahanan terhadap suspek berumur 29 tahun dan berasal dari Besut itu dibuat hasil maklumat orang awam.

"Pemeriksaan pada kenderaan mewah terbabit telah menemukan 35 bungkusan plastik lutsinar tertulis ‘Guanyinwang’ yang disyaki dadah jenis syabu.

"Bekalan (dadah) itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan disyaki untuk edaran di Lembah Klang yang mampu menampung kegunaan untuk 180,000 orang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Mohd Khairi berkata susulan penahan itu, polis turut menyita wang di dalam akaun suspek berjumlah RM681,718.73 untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, ketika ini suspek yang tidak bekerja dan memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah direman selama tujuh hari bermula semalam.

"Siasatan lanjut mendapati suspek pernah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun serta tiga sebatan pada 2015," katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan