BUTTERWORTH, 19 Dis (Bernama) -- Seorang suri rumah mengalami kerugian RM16,857 selepas ditipu seorang individu yang menyamar sebagai anggota polis, kononnya untuk menyerahkan barang kemas bagi tujuan siasatan, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt C. Tharmalingam berkata mangsa berusia 38 tahun itu dihubungi kira-kira 9 pagi oleh seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan jualan dalam talian. Suspek mendakwa mangsa menjalankan perniagaan kosmetik tanpa lesen di platform tersebut.
“Mangsa kemudian disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang untuk semakan rekod jenayah dan diberitahu bahawa dia terlibat dalam kes pengedaran dadah serta penyeludupan wang haram.
“Suspek seterusnya mengarahkan mangsa menyerahkan semua barang kemas miliknya kepada pihak polis untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tharmalingam berkata, sekitar 1 tengah hari yang sama, mangsa bertemu seorang individu di tepi jalan di kawasan Tasek Gelugor seperti diarahkan melalui panggilan telefon sebelum itu dan menyerahkan barang kemas miliknya.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi individu terbabit.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial