JOHOR BAHRU, 23 Dis (Bernama) -- Polis menyelamatkan dua Orang Kurang Upaya (OKU) warga China yang dipercayai dijadikan sebagai pengemis dalam satu operasi di sebuah premis di Jalan Temenggong 3, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU dan IPD Johor Bahru Selatan pada 11 malam.
Beliau berkata lelaki dan wanita berusia 39 dan 36 tahun itu berjaya diselamatkan susulan tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun di Jalan Perkasa 5, Taman Ungku Tun Aminah, di sini pada 10.50 malam hari sama.
“Lelaki tempatan terbabit dipercayai berperanan sebagai penghantar yang membawa mangsa untuk mengemis di pasar malam dan kedai makan sekitar Johor Bahru.
“Dipercayai kegiatan ini aktif sejak awal bulan lepas dengan kutipan hasil cecah RM50 hingga RM150 sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya sebuah telefon bimbit jenama Oppo, kad pemandu agensi pengangkutan awam darat dan sebuah Proton Wira antara yang dirampas dalam serbuan itu.
Beliau berkata lelaki tersebut direman lima hari bermula hari ini sementara dua warga asing itu ditempatkan di rumah perlindungan selama 21 hari dan kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial