Pekerja Pembersihan Didakwa Lakukan Amang Seksual Terhadap Kanak-kanak Perempuan

30/12/2024 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Seorang pekerja pembersihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun.

Muhammad Ikmal Mansor, 29, didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara membuka zip hadapan seluarnya supaya dilihat oleh mangsa bagi tujuan seksual di tepi tangga sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras pada 11.30 pagi, 25 Dis lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Atiqa Nazihah Azmi tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Selain itu, pihak kami mohon syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan keluarganya kerana mereka tinggal di PPR yang sama,” katanya.

Peguam Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang hanya bekerja sebagai pengangkut sampah akan berkahwin pada Februari depan manakala ibunya menghidap kanser payu dara dan baru sahaja menjalani pembedahan.

Hakim Mohd Kafli Che Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 13 Feb tahun depan untuk sebutan kes.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan