PUTRAJAYA, 2 Jan (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis heroin di sebuah rumah dengan penahanan seorang lelaki di Sepang, Selangor pada 23 Dis lepas.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata buruh berusia 24 tahun itu ditahan bersama 13 botol plastik berisi cecair vape disyaki mengandungi heroin yang dianggarkan seberat 319 gram (g).
Beliau berkata cecair itu yang dianggar bernilai RM4,200 dipercayai untuk dijual di sekitar Sepang.
“Semakan mendapati lelaki yang masih bujang itu memiliki tiga rekod lampau, namun negatif terhadap dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan lelaki itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Sepang pada 30 Dis lepas.
Dalam kes lain, beliau berkata pihaknya menggagalkan kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan ganja dengan penahanan seorang lelaki berusia 35 tahun di Sungai Pelek, Sepang, 25 Dis lepas.
Lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemandu lori, katanya didapati positif terhadap dadah jenis amphetamin, methamphetamin dan kanabis.
“Pemeriksaan pada beg silang lelaki itu menemukan satu peket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu dianggar seberat 50.35g dan ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 130.11g, kesemuanya dianggar bernilai RM9,472.10,” katanya.
Norhizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) dan Seksyen 39B ADB 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial