Penghantar Barang Rugi RM63,826 Akibat 'Love Scam'

06/01/2025 07:19 PM

JOHOR BAHRU, 6 Jan (Bernama) -- Akibat termakan pujuk rayu seorang wanita yang dikenali hanya dalam tempoh 20 hari, seorang penghantar barang terpaksa berputih mata selepas kerugian sebanyak RM63,826 kerana diperdaya ‘love scam’.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata lelaki tempatan berusia 28 tahun itu mendakwa mengenali wanita yang menggunakan identiti disyaki palsu iaitu Leong menerusi aplikasi WeChat.

“Kejadian berlaku pada Ogos lepas. Hanya selepas 20 hari berkenalan, suspek yang disyaki wanita tempatan telah meminta bantuan kewangan daripada mangsa bagi membiayai kos perubatan ibunya yang sedang sakit.

“Suspek turut mengancam mahu memutuskan hubungan sekiranya mangsa gagal memenuhi permintaannya. Mangsa telah membuat 16 kali pemindahan wang secara dalam talian ke satu akaun bank bermula 25 Ogos hingga 16 Nov 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudian meminta untuk bertemu dengan suspek dan keluarganya, namun suspek mengelak untuk bertemu selain memberikan pelbagai alasan. 

“Kecewa dengan tindakan suspek, mangsa membuat carian di Internet sebelum mendapati gambar profil WeChat suspek adalah milik seorang pelakon terkenal di Hong Kong. Mangsa kemudian membuat laporan polis setelah percaya dirinya menjadi mangsa cinta di alam maya atau love scam,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan