JPJ Melaka Keluar 275 Notis Babit Pelbagai Kesalahan

16/01/2025 10:01 AM

MELAKA, 16 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 275 notis atas pelbagai kesalahan dilakukan pengguna jalan raya pada Operasi Bersepadu Khas di Batu Berendam, di sini malam tadi.

Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff berkata jumlah itu membabitkan 263 kenderaan diambil tindakan daripada keseluruhan 4,075 kenderaan diperiksa.

“Kesalahan tertinggi direkodkan membabitkan 103 kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh, lesen memandu tamat tempoh (68), kesalahan teknikal (48) dan lain-lain kesalahan (56) kes.

“Selain itu enam pemandu warga asing (PeWA) membabitkan dua warga Bangladesh, masing-masing satu warga Indonesia, Pakistan, Vietnam dan Thailand turut ditahan atas kesalahan LKM dan insurans serta lesen memandu tamat tempoh,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau mengetuai Operasi Bersepadu Khas bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang melibatkan 72 anggota selama empat jam berakhir pukul 12 tengah malam.

Dalam itu Muhammad Firdaus berkata pada operasi sama Jabatan Imigresen turut menahan tiga lelaki iaitu warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia masing-masing berumur 20 hingga 40-an daripada keseluruhan 29 warga asing yang diperiksa.

“Kesemua mereka ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan