Pemandu Lori Balak Maut Kemalangan Babitkan Dua Lori

16/01/2025 03:18 PM

TAMPIN, 16 Jan (Bernama) -- Seorang pemandu lori yang membawa muatan kayu balak maut selepas kenderaan dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori pasir di KM37 Jalan Tampin-Gemas, dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt  Amiruddien Sariman berkata dalam kejadian 6 pagi itu, mangsa yang berusia 62 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindan yang juga anak lelakinya berusia 28 tahun, cedera ringan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lori dipandu mangsa dari arah Jelai, Tampin menuju ke Melaka dipercayai melanggar bahagian kanan lori pasir yang sedang membelok ke kanan untuk masuk ke jalan utama.

"Akibat kemalangan berkenaan, pemandu lori kayu balak itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kelindannya pula luka di kaki kanan manakala pemandu lori pasir itu tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amiruddien berkata mayat pemandu lori itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan