Empat Diberkas Bersama Dadah Bernilai RM4.03 Juta

17/01/2025 06:40 PM

JOHOR BAHRU, 17 Jan (Bernama) -- Polis menahan empat individu dan merampas pelbagai dadah bernilai RM4.03 juta dalam serbuan di dua kondominium mewah di sekitar bandar raya ini pada 10 dan 11 Jan lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata mereka terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Beliau berkata modus operandi sindiket yang dipercayai aktif sejak Oktober tahun lepas itu adalah dengan menjadikan dua unit kondominium itu sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum barang larangan itu diedar di sekitar daerah ini.

"Bekalan dadah dipercayai diperoleh dari utara tanah air dan diadun semula, sebelum dibungkus menggunakan peket kecil berjenama minuman tempatan serta corak tiga dimensi (3D) untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dadah dirampas terdiri daripada 28.82 kilogram serbuk ekstasi, 296 gram ketamin dan 13.20 gram pil erimin 5.

Polis katanya turut menyita pelbagai peralatan dipercayai untuk membungkus semula dadah, sebuah kereta, pelbagai barangan kemas serta wang tunai RM2,761 dan dolar Singapura S$200.

Kumar berkata semakan mendapati seorang daripada lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata kesemuanya kini direman bermula 11 Jan lepas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan