Kokain RM8 Juta Dirampas, Seorang Warga Hong Kong Ditahan

17/01/2025 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Polis merampas dadah jenis kokain bernilai RM8 juta dalam serbuan di tiga lokasi termasuk sebuah makmal pemprosesan dadah di sekitar ibu negara, Rabu lepas. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata turut ditahan seorang lelaki warga Hong Kong yang juga memegang pasport British disyaki berperanan sebagai ‘tukang masak’ bagi memproses dadah tersebut. 

Beliau berkata dalam serbuan pertama pada 5.30 petang, lelaki berusia 27 tahun itu telah diperiksa di ruang punggah ketika sedang menolak kotak di atas sebuah troli di Pusat Perindustrian Kuala Lumpur, Jalan Klang Lama dan polis menjumpai cecair serta ketulan dipercayai kokain dalam plastik lut sinar. 

“Dengan dipandu arah suspek, serbuan kedua dibuat di sebuah premis di pusat perindustrian berkenaan dan menjumpai pelbagai alat dan cecair bagi memproses dadah dan ketulan kokain. 

“Serbuan ketiga dilakukan di rumah suspek di Taman Prima Impian, Segambut yang turut menemukan cecair bagi memproses dadah dan ketulan kokain,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini. 

Khaw berkata secara keseluruhan rampasan membabitkan kokain sebanyak 2.2 kilogram (kg) dalam bentuk ketulan dan 2.6 liter dalam bentuk cecair, diikuti bahan kimia bagi memproses dadah dalam bentuk ketulan sebanyak 108.15 kg dan dalam bentuk cecair sebanyak 3,518.25 liter bernilai RM8 juta. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan suspek direman tujuh hari bermula semalam. 

“Ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif dan dia juga tiada rekod jenayah lampau. Suspek dipercayai masuk ke negara ini pada 3 Jan lepas menggunakan pas lawatan sosial.

“Premis makmal memproses dadah yang diserbu dipercayai telah disewa sejak November tahun lepas dan digunakan untuk memproses dadah bermula Disember,” katanya. 

Khaw berkata sampel dadah yang dirampas dihantar untuk analisis ketulenan dan polis turut menyiasat jika sindiket itu terlibat dengan kegiatan pemprosesan serta pengedaran kokain bagi pasaran di luar dan dalam negara. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan