KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy mengaku di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak mengambil sebarang tindakan terhadap laporan negatif berhubung keadaan hal ehwal syarikat itu seperti yang dilaporkan media tempatan dan luar negara.
Beliau membuat pengakuan itu ketika pemeriksaan balas oleh peguam 1MDB Datuk Lim Chee Wee berkaitan US$700 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Good Star Limited, sebuah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Arul Kanda memberi kenyataan itu dalam perbicaraan kes saman US$6.59 bilion difailkan 1MDB terhadap beliau dan bekas pengerusi lembaga pengarah syarikat itu Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, atas pecah amanah dan konspirasi.
Lim merujuk Arul Kanda kepada empat laporan diterbitkan antara Februari dan April 2015, oleh Sarawak Report, The Edge, South China Morning Post dan Euromoney.
Lim: Anda sepatutnya tahu daripada artikel The Edge bahawa US$700 juta daripada dana 1MDB telah pergi kepada Good Star Ltd. sebuah syarikat dimiliki Jho Low.
Arul Kanda: Ya, saya mengetahui tentang dakwaan itu.
Lim: Mengetahui US$700 juta ini dibayar kepada Good Star Ltd. anda tidak mengarahkan mana-mana peguam atau akauntan forensik untuk menyiasat perkara ini?
Arul Kanda: Ya.
Lim: Anda juga tidak membuat laporan polis?
Arul Kanda: Ya
Lim: Anda juga tidak menghubungi The Edge untuk bertanyakan butiran siasatan itu?
Arul Kanda: Ya.
Terdahulu, Arul Kanda memberi keterangan bahawa beliau mengetahui mengenai artikel dan kenyataan bersifat kritikal mengenai 1MDB sebelum menyertai syarikat itu pada 15 Jan, 2015.
Beliau secara khusus menyebut laporan oleh bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli namun tidak ingat butiran spesifik.
Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Arul Kanda dan Mohd Irwan, mendakwa kedua-dua individu itu terlibat dalam pecah amanah dan konspirasi sehingga mengakibatkan kerugian US$1.83 bilion berhubung pelaburan syarikat itu dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang kemudian ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan diperoleh semula daripada Bridge Global Fund.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng US$3.5 bilion dana syarikat yang dibayar kepada Aabar Investments serta US$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.
1MDB turut mendakwa Mohd Irwan bersubahat dengan Arul Kanda untuk melanjutkan perjanjian pekerjaan yang mengakibatkan pembayaran RM2,905,200 kepada Arul Kanda tanpa mengambil kira kepentingan 1MDB, yang akhirnya membawa kepada kerugian dan kerosakan syarikat.
Susulan itu, 1MDB menuntut ganti rugi US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan bagi pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan pelanjutan perjanjian pekerjaan.
Perbicaraan di hadapan Mahkamah Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 3 Feb ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial