Pemerdagangan Manusia : PGA Tahan 14 Warga Asing, Dua Tekong Di Ketereh

17/01/2025 08:51 PM

KOTA BHARU, 17 Jan (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan pemerdagangan manusia selepas menahan 14 warga asing, termasuk empat kanak-kanak, dalam operasi di Kampung Paya Lada, Ketereh, malam tadi.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan pada pukul 11.45 malam itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan berkaitan penyeludupan warga asing dalam Op Taring Delta Kelantan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lapan lelaki dan enam wanita, termasuk empat kanak-kanak, dipercayai warga Myanmar berada di dalam rumah itu.

“Semua mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan sah dan disyaki diseludup masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua warga Myanmar, masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 24 dan 27 tahun, dipercayai bertindak sebagai tekong yang menyeludup kesemua suspek ke Malaysia.

“Tekong lelaki itu turut didapati memiliki sebiji pil Yaba. Kesemua warga asing tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu, kedua-dua tekong disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, manakala kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya.

--BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan