Polis Kesan Individu Terlibat Insiden Pukul OKU

17/01/2025 09:16 PM

CHUKAI, 17 Jan (Bernama) -- Polis sedang mengesan beberapa individu dipercayai terlibat dalam kejadian pukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, di sini hari ini. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhammad Wan Ja'afar berkata pihaknya telah menerima aduan melalui talian MERS 999 pada 9.30 pagi mengenai seorang lelaki telah dipukul di hadapan orang ramai di lokasi tersebut.

Beliau berkata siasatan mendapati kejadian berpunca apabila mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai jualan.

"Pelanggaran itu menyebabkan barang jualan di gerai tersebut tumpah dan jatuh. Beberapa individu yang ada di situ telah bertindak memukul mangsa.

"Mangsa yang mengalami cedera ringan telah dihantar ke Hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Muhamad berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk membantu siasatan.

"Kita dapati terdapat rakaman video mengenai insiden tersebut berdurasi 1 minit 52 saat yang tular di laman sosial sejak pagi tadi. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh," katanya.            

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan