PGA Kelantan Gagalkan Cubaan Seludup Tanaman Hiasan Bernilai Lebih RM900,000

18/01/2025 03:33 PM

KOTA BHARU, 18 Jan (Bernama) -- Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup tanaman hiasan dan tumbuhan dengan anggaran nilai rampasan berjumlah lebih RM900,000 termasuk kenderaan pada 16 dan 17 Jan lepas.  

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam Op Taring Wawasan Kelantan di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada Khamis, pasukannya menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Dalam kejadian 5.30 petang itu, seorang lelaki berusia 25 tahun telah ditahan dan pemeriksaan menemukan 1,500 pelbagai jenis anak pokok dipercayai diseludup dari Thailand yang mempunyai kulat dan serangga perosak. 

“Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup tumbuhan berkenaan ke pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ros Azhan berkata rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM215,000 termasuk nilai kenderaan dan kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.

Sementara itu, beliau berkata dalam kes di Chabang Empat, Tumpat, anggota PGA turut menahan sebuah lori 12.15 pagi semalam dan pemeriksaan menemukan 3,800 pelbagai jenis anak pokok orkid dan dua kotak pancang buluh dipercayai diseludup dari Thailand. 

Nik Ros Azhan berkata dua lelaki berusia 37 dan 34 tahun dipercayai menjadi penghantar telah ditahan dengan rampasan keseluruhan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM720,300 dan kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167).

“Suspek dan kesemua barang rampasan seperti tanaman hiasan, tumbuhan, pokok orkid serta pancang buluh dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata sebanyak 12 ekor lembu dengan anggaran berat 7,800 kilogram disyaki diseludup dari Thailand dirampas di Tumpat, Khamis lepas. 

Beliau berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 PGA pada 6 petang setelah menahan sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugas Op Taring Wawasan Kelantan.

“Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup lembu berkenaan ke pasaran tempatan,” katanya dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM257,000 termasuk kenderaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 manakala suspek serta barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Chabang Empat, Tumpat untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan