Ops TBC: 500 Penguat Kuasa JPJ Sarawak Digerakkan

24/01/2025 10:19 PM

SIBU, 24 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menggerakkan 500 anggota penguat kuasa untuk melaksanakan Operasi Khas Tahun Baru Cina (TBC) 2025 bermula 20 Jan hingga 9 Feb ini. 

Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata operasi khas bermatlamat mengurangkan kemalangan jalan raya itu meliputi Ops Motosikal, Ops Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA), Ops Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB), Ops Teknikal dan Ops 9 Big Sin.

“JPJ turut melaksanakan larangan pemanduan kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) pada 27 dan 28 Jan (sebelum perayaan) serta 1 dan 2 Feb (selepas perayaan) dengan pemantauan intensif oleh pasukan penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya pemandu yang melanggar larangan tersebut akan dikenakan saman dan kenderaan mereka akan disita selama 48 jam di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu, beliau mengadakan tinjauan dan pemeriksaan di Terminal Bas Sibu bersama pasukan penguat kuasa JPJ.

Norizan berkata pemeriksaan teknikal ke atas bas ekspres telah dilakukan selama seminggu bermula 13 Jan di depoh seluruh Sarawak bagi memastikan keselamatan kenderaan tersebut.

Beliau berkata bas yang lulus pemeriksaan diberikan slip pemeriksaan sah untuk tempoh seminggu manakala bas yang mempunyai masalah teknikal dilarang beroperasi sehingga pembaikan dilakukan.

“Pengguna Lebuh Raya Pan Borneo dinasihatkan supaya memandu secara berhemah kerana jumlah kenderaan dijangka meningkat mendadak semasa cuti Tahun Baru Cina dan cuti sekolah,” katanya.

Faktor utama kemalangan jalan raya katanya melibatkan kecuaian pemandu serta keadaan kenderaan, jalan raya dan cuaca selain menekankan supaya tidak memandu dalam keadaan mengantuk.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai untuk melaporkan kesalahan lalu lintas agar tindakan segera dapat diambil.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan