55 Rumah Diroboh Dalam Operasi Koloni Setinggan Di Kota Kinabalu

06/02/2025 08:17 PM

KOTA KINABALU, 6 Feb (Bernama) -- Sebanyak 55 rumah setinggan dirobohkan dalam Operasi Perobohan Koloni Setinggan di sini hari ini bagi membanteras jenayah dan memastikan keselamatan serta keselesaan penduduk sekitar.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerusi kenyataan memaklumkan operasi itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Turut terlibat dalam operasi pertama pada tahun ini adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Jabatan Ketua Menteri (JKM).

“Rumah-rumah ini didapati dibina secara haram dan tidak memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan.

“Perobohan ini bukan sahaja bertujuan untuk menghapuskan penempatan haram, tetapi juga memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan operasi ini akan diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha membanteras jenayah, pendatang tanpa izin (PTI), dadah dan gejala sosial di daerah berkenaan.

“Pihak Polis Diraja Malaysia IPD Kota Kinabalu komited untuk memastikan daerah ini bebas daripada sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti yang tidak sah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan