Pelajar Tingkatan Enam Maut Kereta Jatuh Gaung

28/02/2025 09:52 AM

KOTA TINGGI, 28 Feb (Bernama) -- Seorang pelajar perempuan tingkatan enam maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terjatuh dalam gaung di Kilometer 32 Jalan Lok Heng - Mawai di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata mangsa, Nur Adnin Sabtu, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian membabitkan pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab itu kira-kira 6.50 petang.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga berwarna merah yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh dalam gaung berhampiran.

"Susulan itu, mayat mangsa telah dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I KUP Mohd Rafi Mohd Nor dalam kenyataan berasingan berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah menggunakan peralatan khas untuk membawa mangsa naik ke kawasan selamat.

"Operasi menyelamat mangsa yang terjatuh dalam gaung sedalam 25 kaki itu melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi.

"Mayat mangsa kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 7.48 malam," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan