Operasi Banjir: 2,000 Anggota APM Diatur Gerak Ke Sabah, Sarawak

10/03/2025 03:01 PM

KAJANG, 10 Mac (Bernama) -- Seramai 2,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di negeri Sabah dan Sarawak terlibat dalam kerja menyelamat dan membantu penduduk yang terjejas banjir.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata keadaan banjir di Sabah dan Sarawak masih mampu dikawal oleh anggota sedia ada di dua negeri tersebut.

“Setakat ini, tiada keperluan untuk menghantar anggota tambahan kerana bilangan sedia ada sudah mencukupi. Namun, jika keadaan memerlukan, keputusan lanjut akan dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Peluncuran Bulan Pertahanan Awam dan perasmian Wacana Nasional: Struktur dan Hala Tuju Kesukarelawanan Malaysia yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Keluarga, Wanita dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Institut Semarak Felda, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Aminurrahim turut menyerahkan sijil pentauliahan Kol Bersekutu (PA) kepada Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Abdul Jamil.

Turut diadakan, majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara APM bersama Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU) yang diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Kassim Noor Mohamed.

Mengulas mengenai jumlah anggota APM yang aktif di seluruh negara, Aminurrahim berkata pihaknya mengesan seramai 15,300 anggota aktif melalui caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata elaun bagi anggota lain-lain pangkat adalah sebanyak RM8 sejam, manakala pegawai menerima RM9.80 sejam.

“Waktu penugasan bagi mereka yang bertugas di pejabat adalah sembilan jam sehari, untuk operasi lapan jam, manakala dalam situasi bencana, ia boleh mencecah 16 jam sehari,” katanya.

Bulan Pertahanan Awam akan berlangsung secara rasmi dari 10 Mac hingga 10 April, sejajar dengan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Malaysia yang ke-73 (HUTPA-73) yang disambut pada 24 Mac setiap tahun.

Tema sambutan tahun ini, "Sukarelawanan Dan Pertahanan Awam: Teras Kesejahteraan Negara", menekankan kepentingan kolaborasi antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat dalam memperkukuh pertahanan awam serta semangat kesukarelawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan