Ops Khas Aidiladha: JPJ Johor Keluar Lebih 5,000 Notis Saman

10/06/2025 10:44 PM

JOHOR BAHRU, 10 Jun (Bernama) -- Sebanyak 5,744 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menerusi Ops Khas sempena perayaan Aidiladha yang dilaksanakan bermula 4 Jun hingga hari ini.

Pengarah JPJ Johor Azmil Zainal Adnan berkata daripada jumlah itu, 1,264 notis dikeluarkan atas kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (1,163), tiada insurans (1,021) dan tiada Lesen Vokasional sebanyak 134 notis. 

“Kesemua notis itu dikeluarkan setelah  pemeriksaan dijalankan terhadap 45,395 buah kenderaan, dengan 83 kenderaan disita melibatkan 66 buah motosikal, sembilan kereta dan lapan bagi lain-lain kenderaan,” katanya menerusi kenyataan malam ini. 

Beliau berkata saman turut dikeluarkan atas kesalahan seperti memotong secara bahaya atau memotong di sebelah kiri dengan tujuh notis, memotong di garisan berkembar (15) dan tidak mematuhi lampu isyarat merah (tujuh).

Kesalahan lain turut melibatkan penggunaan lorong kecemasan (lapan), menggunakan telefon bimbit (sembilan), tidak memakai topi keledar (72), tidak memakai tali pinggang keledar (51) dan lain-lain kesalahan (1,993)," katanya.

Beliau juga memohon kerjasama pengguna jalan raya dan orang awam untuk mematuhi peraturan dan bertoleransi dengan pengguna lain demi keselamatan diri dan keluarga. 

Sebarang aduan boleh dibuat secara terus dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my berserta butiran lengkap aduan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan