Lelaki Tempatan Ditahan Cuba Seludup Empat Ekor Ungka Di KLIA

22/06/2025 06:59 PM

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan ditahan dipercayai cuba menyeludup keluar empat ekor ungka tangan hitam bernilai kira-kira RM30,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Jumaat lepas.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan kesemua haiwan eksotik berkenaan ditemukan dalam bagasi suspek berusia 34 tahun yang merupakan penumpang sebuah syarikat penerbangan ke Mumbai, India.

“Suspek ditahan di lokasi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Aeropolis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu hari ini.

AKPS memaklumkan haiwan berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

"Tangkapan itu hasil pelaksanaan pemeriksaan bersepadu yang diperketatkan sejak awal bulan ini bersama pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dan PERHILITAN dengan fokus membanteras penyeludupan spesies terancam, khususnya di sektor penerbangan berisiko tinggi.

“AKPS, AVSEC dan PERHILITAN akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk utama KLIA dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyeludupan hidupan liar,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan