Empat Termasuk Tiga Warga Singapura Didakwa Edar Dadah

26/06/2025 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Empat lelaki termasuk tiga warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kokain dalam bentuk cecair hampir 10 liter, minggu lepas.

Warga tempatan, Kong Sien Mee, 57, dan tiga lelaki Singapura iaitu Quek Kien Seng, 45, Tristan Chew Jin Zhong, 25, dan Ivan Tan Zhi Xuan, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top. 

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis kokain dengan anggaran isipadu 9,420.2 mililiter di jalan keluar sebuah hotel di sini pada 11.45 pagi, 19 Jun lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.  

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan sebatan minimum 12 sebatan. 

Mahkamah menetapkan 8 Sept ini untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Ramanathan Alias Ashwin manakala tiga tertuduh warga Singapura diwakili peguam Ille Maryam Yusnawannie manakala Kong tidak diwakili peguam. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan