BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
JERTIH, 3 Julai (Bernama) -- Pemandu bot terlibat dalam tragedi yang mengorbankan tiga penumpang di Pulau Perhentian pada Sabtu lepas, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut, di sini atas pertuduhan penyalahgunaan dadah.
Azrie Yazid, 22, didakwa telah memasukkan dadah ke dalam badannya disyaki jenis Nimetazepam yang tersenarai dalam Bahagian III dan IV Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Besut, di sini pada 10.05 pagi, 29 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta perintah pengawasan.
Mahkamah membenarkan Azrie diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Zaidi Mat Yasin manakala tertuduh diwakili peguam Norhuda Mohamed Khan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Dalam kejadian pada 10.30 malam Sabtu lepas, S. Arumugam, 40, dan anaknya A. Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan, V. Vennpani, 10, maut manakala dua mangsa cedera, selain 10 lagi terselamat.
Kesemua penumpang bot berusia tiga hingga 40 tahun itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, namun ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan bot terbalik.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu sebelum ini berkata pemandu bot terbabit disahkan positif dadah selain turut mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial