KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak prosiding komital yang difailkan jabatan itu terhadap bekas Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil.
Prosiding komital itu berhubung kenyataan terbuka Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Peguam Jamie Wong yang mewakili Isham ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya telah menerima e-mel dengan lampiran Notis Rayuan yang difailkan AGC semalam.
"Kami menerima e-mel dengan surat iringan daripada AGC pada 7.28 malam semalam," kata peguam itu.
Pada 8 Julai lepas, Hakim K. Muniandy menolak prosiding komital terhadap Isham selepas mendapati kenyataan yang dibuat ahli politik itu tidak menimbulkan risiko sebenar untuk menjejaskan keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman.
Isham didakwa mengeluarkan kenyataan itu dalam satu temu bual bertajuk “Townhall for Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa” yang dilaporkan memberikan komen terhadap perbicaraan dan rayuan Najib dalam kes SRC International dan 1MDB.
Komen itu kemudian disiarkan menerusi laman Facebook "The Malaya Post" pada 30 Sept 2023.
Peguam Negara mendakwa kenyataan Isham itu turut mencabar proses penarikan diri Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan), yang ketika itu mengetuai perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi.
Selain itu, Peguam Negara mendakwa kenyataan Isham mencemarkan nama baik badan kehakiman dan mampu menghakis keyakinan rakyat terhadap insitusi berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial