KOTA BHARU, 17 Julai (Bernama) -- Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan melakukan khianat dengan merempuh hingga pecah cermin pintu gelangsar Balai Polis Ketereh di sini pada Mei lepas.
Majistret Rais Imran Hamid menjatuhi hukuman tersebut selepas mendengar dan menerima pengakuan bersalah Nik Mohadi Ahmad, 39, bagi pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat ke atas harta milik balai polis dengan cara merempuh cermin pintu gelangsar kaunter aduan hingga pecah dan menyebabkan kerugian RM200.
Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Ketereh di sini pada 1.02 petang, 16 Mei lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Naabil Mohamed Asri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Naabil memohon hukuman setimpal sebagai bentuk pengajaran kepada tertuduh dan mengambil kira faktor kepentingan awam memandangkan kerosakan adalah terhadap harta benda kerajaan.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 18 bulan yang akan berjalan berturutan selepas selesai hukuman penjara yang sedang dijalani tertuduh di bawah seksyen sama yang bermula 7 Julai lepas hingga 22 April tahun hadapan.
Tertuduh sebelum ini dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan barangan di rumah milik bapa saudaranya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial