E-Hati: Polis Sahkan Ada Aktiviti Bogel Semasa Program Motivasi

16/07/2025 06:01 PM

SHAH ALAM, 16 Julai (Bernama) -- Polis mengesahkan wujud aktiviti kelucahan melibatkan perlakuan bogel oleh peserta dalam sebuah program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di sini, pada tahun lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata berdasarkan siasatan pihaknya, terdapat empat individu melakukan adegan itu sebagai sebahagian daripada acara yang dipanggil ‘Queens Night’.

Beliau berkata menerusi “Program Motivasi Mencari Kebahagian Kembali” itu, penganjur menyediakan dua pakej iaitu A dan B untuk dipilih peserta dengan dikenakan kadar harga dan pengisian acara berbeza.

“Pakej B sedikit mahal sebab ada acara Queens Night, dan dalam pakej inilah berlaku aktiviti lucah melibatkan empat individu yang melakukan satu adegan dipanggil ‘rebirth’ untuk menaikkan motivasi.

“Pakej B ini hanya melibatkan peserta wanita dan siasatan mendapati acara itu disertai 50 peserta daripada pelbagai latar belakang pekerjaan serta bangsa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata bagi Pakej A, peserta dikenakan bayaran sebanyak RM6,000 dan Pakej B yang mengandungi acara Queens Night berharga RM9,000.

Beliau berkata setakat ini enam individu telah direman termasuk pasangan suami isteri pengasas syarikat motivasi tersebut, manakala 30 individu melibatkan penganjur, fasilitator serta peserta yang hadir pada program itu dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Dalam kes ini, 50 orang dikenal pasti terlibat dan kita ada senarai mereka. Jadi, saya minta peserta lain tampil bantu siasatan kerana jika tidak, tindakan tangkapan boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan dalam acara itu dan cecair yang dicampur di dalam minuman yang diberikan kepada peserta serta sedang menunggu keputusan ujian Jabatan Kimia sama ada mengandungi campuran dadah atau bahan lain.

Hussein berkata kes disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan kelucahan di khalayak ramai dan Seksyen 509 kanun sama serta Seksyen 14 di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. 

Hussein turut mengesahkan program motivasi itu bukan berkonsepkan Islam kerana disertai peserta daripada pelbagai agama.

“Kita percaya program ini dibuat secara bermusim dan ia melibatkan penyertaan individu daripada pelbagai latar agama dan kaum, jadi ia bukanlah program berkonsepkan Islam,” katanya dan menambah polis belum menemukan sebarang rakaman video atau gambar program terbabit setakat ini.

Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan semua suspek yang terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki berusia 26 hingga 47 tahun itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan pasangan pengasas itu ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam selepas memberi keterangan di IPD Petaling Jaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan