Pemandu E-Hailing Rugi RM301,300 Terperdaya Skim Pelaburan Tidak Wujud

19/07/2025 07:07 PM

JOHOR BAHRU, 19 Julai (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang pemandu e-hailing kerugian RM301,300 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata lelaki berusia 67 tahun itu mendakwa kejadian berkenaan berlaku pada April lepas, apabila mangsa diperkenalkan kepada satu skim pelaburan melibatkan saham luar negara oleh seorang wanita warga tempatan yang baru dikenalinya. 

“Mangsa yang percaya dengan janji wanita itu melakukan 11 transaksi ke empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM301,300 tetapi tidak menerima sebarang keuntungan. Sebaliknya, dia diminta untuk membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran hasil keuntungan.

“Dia membuat laporan polis pada Isnin lepas setelah menyedari ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan itu gagal selain suspek juga tidak dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata siasatan awal melalui platform Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mendapati tiga daripada akaun yang digunakan mempunyai rekod 27 laporan polis berkaitan penipuan pelaburan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan juga merangkumi unsur penglibatan sebagai ‘keldai akaun’ di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan berkaitan penggunaan akaun atau instrumen pembayaran bagi tujuan jenayah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan